Friday, April 19, 2013

AKU PUNYA SEORANG BAPA


Aku tahu entry ini sangat panjang... Aku tidak memaksa agar mata kecil kamu dan kamu membacanya...

Kadangkala,
Aku perlu berlari untuk melihat siapa berada dibelakangku. Siapa yang akan mengejarku.
Sukar untuk menjawab "Apa masalahnya?" bila segalanya tiada masalah.

Kerana,
Aku sudah penat mencuba..penat menangis..Namun aku masih terus tersenyum. Jika waktu kecilku, menangis mungkin adalah jawapan untuk segalanya. Tapi, kini aku sudah besar dan menangis bukan lagi menjadi jawapan untuk segala persoalan. Ianya hanyalah satu pilihan. Pilihan untuk menangis. Mungkin satu hari nanti segalanya akan kembali pulih. Hanya itu yang aku mahu. Aku tidak kisah, aku hanya mahukan ia menjadi "ok".

Kadangkala,
Aku terasa sudah tiba masa untuk aku berhenti mencuba pabila ia hanya mengundang kesakitan yang mendalam untuk terus bertahan. Dan aku tidak mampu menangungnya lagi..

Kerana,
Mereka sering katakan aku sentiasa bahagia dan aku sudah buat yang terbaik dalam segala hal. Sejujurnya mereka tidak tahu aku juga pelakon yang terbaik. Tidak semestinya aku inginkan bahagia selamanya. Aku hanya mahu berhenti dari keserabutan ini. Memadai walau seketika.

Kadangkala,
Ia amat menyakitkan untuk tersenyum dihadapan semua orang. Padahal saat menangis itu pasti bersendirian. Untung aku punya Allah. Aku masih ada Allah. Aku masih boleh mengadu dan aku masih boleh bermohon.

Kerana,
Aku tidak tahu apa yang aku mahukan sebenarnya. Dalam kehidupan. Apa yang aku tahu, aku sudah menyakiti begitu banyak hati-hati manusia di luar sana. Semua itu membuatkan titisan air mata mengalir ke pipi.  Yang selama ini aku cuba lari dari semua itu dan cuba untuk sembunyikannya, namun akhirnya tetap ia jatuh ke bumi.

Kadangkala,
Aku terasa sunyi di dunia ini. Ada ketika aku seakan berdiri sendirian apabila orang lain sedang duduk. Dan mereka tidak lekang memandangku sambil soalan diaju kepadaku "Apa masalah dia ni?". 

Kerana,
Aku mengerti perasaan itu. Ibarat berjalan di jalanan kosong. Hanya mendengar derap kaki melangkah sendiri. Sunyi. Gelap dan Kelam. Dan semua pintu terkunci. Walhal aku tidak pasti apakah aku berjalan menuju sesuatu. Atau hanya berjalan meninggalkan sesuatu.

Kadangkala,
Aku sering dipandang sinis oleh mereka. Ada ketika mereka memperlekeh usahaku. Namun aku tetap tersenyum. 

Kerana,
Aku hanya berusaha. melaksana tanggungjawab aku meniti hari dan memikul tugas sebagai seorang insan bernama anak. Mungkin aku tidak sempat berbakti kepada kedua  ibu bapa. Tapi aku diberi peluang untuk berbakti kepada bapa selagi hayat ini ada.

Mungkin aku menjadi asing pada mereka. Mungkin aku dipersalahkan dalam segala hal. Namun aku masih punya perasaan. Hati kecil ini hanya merasa perih. Aku tolak segalanya ke tepi. Ini pilihanku untuk meletakkan diri sendiri dibawah nilai kemasyarakatan yang semakin pupus. 

Biar aku tidak mewah, asal aku ada insan yang aku sayangi. Aku hanya punya seorang bapa. Ia tidak akan pernah menjadi dua atau tiga. Yang pasti ianya mungkin akan tiada dan pergi selamanya. Cukuplah ketika ibu pergi aku leka bergembira di luar sana. Aku lupa ibu perlukan aku disisinya. Akhirnya aku sendiri menanggung rasa bersalah sepanjang hidupku. Ibu pergi tanpa aku sedia. Tanpa aku rela. Takdir menyadarkan aku bertapa aku leka disaat aku muda remaja.

Kini Allah tinggalkan bapa untuk aku. Hanya bapa. Aku bersyukur, kerana Dia masih berikan aku peluang sekali lagi. Amanah yang tertangguh selama ini. Kerana aku yakin aku dikurniakan kekuatan untuk berkhidmat dan berbakti kepada bapa. 

Mungkin mudah untuk orang berkata aku sudah dewasa. Aku bisa membuat jalan hidupku sendiri. Tapi bagi aku, masih ada perkara yang belum aku tunaikan. Tidak akan kaki ini melangkah pergi meninggalkan bapa sendirian. Ya, memang dia punya teman tapi masih jelas beda antara teman dan darah daging sendiri.

Akhirnya aku tahu ini pilihan aku. Sekeping kertas bernilai puluhan ribu ringgit aku tolak ketepi. Aku sematkan rapi dan simpan ditempatnya. Biarkan ia disitu. Itu tidak lagi menjadi kepentingan. Biar ilmu itu disimpan di dada dan diguna bila-bila masa sepanjang hidupku. Dulu ,baju lusuh dan seluar gombal yang dipakai oleh bapa. Kini aku cuba memakai pakaian itu. Sama sepertinya saat dia membesarkan anak-anak hanya dengan kudratnya.Aku tidak ukur saiz kakinya. Tapi aku juga cuba untuk memakai kasutnya.Kini baru aku mengerti penat jerih dia memerah keringat mambanting tulang berkorban waktu demi memperjuangkan hidup anak-anak. 

Aku harus dan akan terus ingat. Aku masih punya seorang bapa. Perlahan akan aku ringankan bebannya. Perlahan akan aku senangkan fikirannya Perlahan akan aku cuba mendamaikan dia.

Hari ini aku sedar, bila aku lihat dia bermenung baru aku tahu Bapa sudah tua. Wajahnya sudah mula berubah bentuk. Namun dia tetap tersenyum. kadangkala dia mengeluh sendirian. Dia sudah tidak kuat berjalan. Dia sudah tidak kuat angkat barang. Dia sudah tidak kuat makan. Dia juga sudah tidak kuat memikirkan beban hidupnya. Kadangkala dia lupa dimana dia meletakkan itu dan ini. Kadangkala aku tersentuh melihat dia tidak respon pada panggilan dan bunyi. Pendengaran dia turut dimamamah usia. Benar, bapa sudah tua.

Biar apa orang kata, aku hanya ada satu jawapan. Iaitu " Aku punya seorang Bapa". Selagi aku diberikan usia, selagi bapa masih bernyawa aku akan berbakti kepadanya. Aku sudah sering berdosa kepadanya. Aku  terlalu banyak kecilkan hatinya. Biar kini aku membalas budinya.Biar aku hiburkan hari-harinya. Mungkin satu hari nanti anak ini akan pergi, aku hanya ingin dia tahu aku terlalu menyayanginya.  Kerana dia seorang bapa dan aku seorang anak. Moga segalanya diredhai. Moga segalanya diberkati. Aku akan terus berusaha. Aku akan terus bersamanya. Insya Allah... Semoga dipermudah segala urusan duniawi ini dan ukhrawi nanti. Ibu, aku akan jaga bapa... Aku akan jaga dia.. 



"Ya Allah, ampunilah segala dosaku, dan (dosa) kedua ibubapaku, dan rahmatilah keduanya sepertimana mereka mendidikku pada waktu kecil."



3 comments:

Keri said...

aku suka gaya penulisan ko. mesej yang jelas. menyentuh hati.
blog ni penuh aura kekeluargaan sekarang :P

Azhafizah MN said...

sentiasa kuatkan semangat demi orang yg kita syg..be strong enough dear.

merahitujambu said...

salam ramadhan biqa..lama x melawat awk dear